PENGENALAN KEPADA PENGURUSAN INDUSTRI

Pengurus di industri adalah seorang pemimpin bagi pekerja di dalam sesebuah organisasi. Dia bertanggungjawab untuk menggunakan sumber manusia, wang, masa dan aset fizikal secara efektif. Untuk menjalankan tugas ini, pengurus perlu mengurus pekerja di dalam kumpulan di bawah seorang ketua dan penyelia. Sains pengurusan diamalkan oleh pengurus dan perunding dengan menyediakan satu pemikiran yang bersepadu bagi pengurusan operasi berasaskan penggunaan kaedah penyelidikan saintifik bagi masalah perniagaan. Terdapat dua bidang yang berkaitan dengan sains pengurusan, iaitu kejuruteraan industri dan penyelidikan operasi. Sains pengurusan diasaskan oleh Frederick W. Taylor. Beliau digelar bapa Pengurusan Saintifik. Taylor memperkenalkan kaedah pengurusan secara sistematik, yang dimulakan pada tahun 1880 di Midvale Steel Company di Philadelphia. Mula-mula kerjanya berasaskan sistem secara bersendirian, tetapi akhirnya dia mendapati semua activiti pengurusan adalah berhubungkait. Taylor menghabiskan masa selama 30 tahun untuk menyempurnakan sistemnya di kilang kayu, logi jentera, projek pembinaan bangunan, syarikat Bethleham Steel Company dan lain-lain. Beliau telah mengutarakan 4 prinsip pengurusan iaitu 1) penyelidikan 2) pempiawaian 3) kawalan dan 4) kerjasama. Apabila sistemnya digunakan di Link Belt Engineering Company pada tahun 1905, sistem tersebut disertakan dengan perakaunan kos, kajian masa unit, kawalan inventori, kawalan pengeluaran, jadual waktu output, operasi fungsian, kaedah yang piawai dan cara-cara untuk mengekalkan mutu pengeluaran. Pakar-pakar pengurusan yang lain juga turut bekerjasama dengan Taylor. Mereka termasuk Carl G. Barth, Henry L. Gantt, Sanford E. Thompson, H. King Hathaway dan lain-lain. Barth memperkenalkan pengurusan saintifik bagi penyelidikan matematik, Gantt pula menyumbangkan kepada pengikhtirafan psikologi pekerja, memperkenalkan rancangan bonus dan carta bagi jadual waktu pengeluaran.


PERANCANGAN DAN KAWALAN

Pengurus adalah bertanggungjawab di atas kuasa dan sumber yang dimilikinya. Untuk membolehkan seseorang pengurus itu bertanggung jawab, proses perancangan dan kawalan adalah penting. Perancangan adalah satu proses untuk membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan. Kawalan adalah satu proses untuk memeriksa samada matlamat yang dirancangkan dapat dicapai, dan jika tidak dapat, bagai ia harus diperbaiki. Perancangan adalah satu proses untuk membuat keputusan. Ia mementingkan masa hadapan yang diingini oleh pengurus untuk organisasinya. Proses perancangan akan menentukan matlamat dan aktiviti yang sesuai untuk mencapai matlamat tersebut. Perancangan bukanlah satu perkara yang berlaku sekali sahaja malah proses yang berterusan yang boleh mencerminkan dan mengubahsuai perubahan di persekitaran sesebuah syarikat. Matlamat adalah penting di dalam proses perancangan disebabkan 4 perkara: 1. Matlamat menentukan arah 2. Matlamat memfokuskan usaha 3. Matlamat memandu rancangan dan keputusan 4. Matlamat membantu kita untuk menilai kemajuan. Jika seseorang individu dan kumpulan di dalam organisasi ingin bekerja secara efektif bagi mencapai matlamat organisasi, mereka perlu tahu apakah yang mereka sepatutnya lakukan. Tujuan perancangan ialah: 1) menentukan objektif organisasi 2) mengenalpasti cara alternatif bagi mencapainya 3) memilih dari semua alternatif bagi organisasi dan individu di dalamnya. Perancangan melibatkan keputusan pengurusan mengenai 1) apa yang akan dilakukan di masa akan datang 2) bagaimana untuk melaksanakan 3) bila akan dibuat 4) siapakah yang patut menyempurnakannya. Tugas pengurusan bagi mengawal adalah pengukuran dan pembetulan bagi aktiviti yang dibuat oleh orang di bawahnya bagi memastikan matlamat-matlamat bagi organisasi, atau perancangan yang diperlu dicapai, dapat dilaksanakan. Kawalan adalah fungsi pengurusan yang penting di setiap peringkat di dalam hierarki pengurusan.Jadi untuk melaksanakan fungsi kawalan mereka, pengurus mestilah mempunyai 1) perancangan; yang menunjukkan matlamat yang mana usaha mereka serta orang di bawah mereka perlu diarahkan, serta kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan bagi mencapainya 2) struktur organisasi di mana ianya mestilah merupakan pertunjuk yang jelas bagi pengurus-pengurus yang bertanggungjawab bagi hasil-hasil yang sebenarnya dicapai dan sebarang penyelewengan yang perlu diselidik untuk diperbaiki


ORGANISASI DAN KELAKUAN ORGANISASI

Organisasi dalaman adalah satu cara di mana sesebuah syarikat dapat menjamin tugasan yang dibahagi-bahagikan supaya dapat diselaraskan dengan baik. Tujuan utama organisasi ialah untuk menyelaras dan mengawal activiti bagi sesebuah organisasi. Terdapat banyak faktor yang perlu difikirkan bagi membentuk satu struktur organisasi di dalam sesebuah syarikat. Tidak ada mana-mana organisasi yang sama strukturnya. Setiap organisasi perlu dikaji mengenai tujuan, saiz dan jenis produk yang dihasilkan oleh mereka. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa prinsip asas yang boleh digunakan sebagai panduan bagi menentukan keperluan organisasi bagi mana-mana syarikat. Terdapat lima bentuk organisasi yang penting yang mana sesuai untuk sesebuah syarikat mengikut saiz dan jenis produk yang dihasilkan, iaitu: 1) 'line' atau 'military' 2) 'line' dan staf 3) 'functional' 4) 'line' dan staf 'functional' 5) 'line', staf 'functional' dan jawatan kuasa. Organisasi adalah sebahagian dari masyarakat kita dan menyediakan banyak keperluan yang penting. Keputusan dan tindakan pengurusan di dalam sesebuah organisasi mempunyai kesan yang besar terhadap individu, organisasi yang lain dan masyarakat terutamanya apabila berlakunya pertambahan saiz perniagaan. Oleh itu adalah penting untuk memahami bagaimana fungsi dan pengaruh mereka ke atas kelakuan manusia. Kajian organisasi melibatkan pemahaman mengenai: 1)kelakuan manusia (individu dan kumpulan) 2) proses pengurusan 3) pengaruh persekitaran 4) peningkatan prestasi dan keberkesanan organisasi. Pengurusan adalah faktor penting bagi keberkesanan organisasi dan menyumbangkan kepada keperluan sosial dan ekonomi bagi masyarakat. Mutu pengurusan adalah satu perkara penting di dalam menjayakan sesuatu organisasi. Pengurus perlu mengimbangi aspek teknikal, social dan gagasan ilmu dan kepakaran, yang diperolehi melalui pendidikan dan pengalaman. Berdasarkan kepada pengalaman di dalam pelbagai organisasi, terdapat pelbagai soalan untuk membantu pengurus menilai prestasi syarikat mereka. 1) apakah sikap untuk bertukar 2) bagaimanakah pengurus terutamanya di bahagian atas dapat dihubungi 3) bagaimanakah keadaan persekitaran di dalam organisasi 4) berapa kerap pekerja diberi ganjaran dan diikhtiraf 5) adakah perkhidmatan pelanggan diukur dengan aktif 6) adakah suasana menggembirakan di dalam organisasi


PENGURUSAN PEMASARAN

Pemasaran adalah sebahagian daripada kehidupan harian kita. Sistem pemasaran yang ujud sekarang telah sedikit sebanyak meningkatkan taraf kehidupan yang tidak pernah dibayangkan oleh datuk nenek kita. Banyak firma yang besar atau kecil termasuk dalam sistem pemasaran. Pemasaran adalah kunci kejayaan perniagaan. Apa itu pemasaran? Pemasaran boleh ditakrifkan sebagai proses sosial dan pengurusan di mana individu dan kumpulan memperolehi apa yang diperlukan dan dikehendaki melalui ciptaan dan pertukaran produk atau perkhidmatan dan lain-lain nilai. Jika dilihat dengan lebih mendalam, falsafah pengurusan pemasaran merupakan usaha-usaha pemasaran yang berlandaskan keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengurus-pengurus pemasaran dengan mengambil kira kepentingan organisasi, pengguna dan masyarakat. Terdapat 5 gagasan alternatif di mana sesebuah organisasi boleh menjalankan aktiviti-aktiviti pemasaran mereka. 1) konsep pengeluaran, yang menyatakan pengguna menggemari produk yang mudah lagi senang diperolehi, oleh itu pengurusan perlu menumpukan kepada memperbaiki pengeluaran dan keberkesanan pengagihan. 2) konsep produk, ia beranggapan bahawa pengguna akan membeli produk yang menawarkan mutu, prestasi dan rupabentuk yang terbaik, maka pengurusan perlu menumpukan usaha-usaha yang berterusan di dalam memperbaiki mutu produk. 3) konsep jualan, ia beranggapan pengguna tidak akan membeli produk yang ditawarkan selagi organisasi tidak membuat usaha-usaha jualan dan promosi secara besar-besaran. Konsep ini sangat berkesan kepada barangan yang jarang dibeli dan pengguna tidak terfikir untuk membelinya 4) konsep pemasaran yang menyarankan bahawa untuk mencapai matlamat organisasi ia sangat bergantung kepada menentukan keinginan mereka dengan lebih efektif daripada pesaing-pesaing 5) konsep kemasyarakatan yang menekankan bahawa firma perlu mematuhi keperluan, kehendak dan keinginan pasaran sasaran. Ia perlu menyempurnakan keinginan dan kepuasan itu dengan lebih efektif dari pesaing-pesaing dengan mengambilkira nilai kehidupan pengguna dan masyarakat. Secara keseluruhan, pemasaran membantu secara bersepadu fungsi-fungsi pengkhususan perniagaan dalam memenuhi keperluan pelanggan.


KESELAMATAN INDUSTRI

Perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja harus dititikberatkan oleh semua majikan. Keselamatan dan kesihatan pekerja penting bukan sahaja disebabkan oleh pertimbangan dari segi moral dan undang-undang, tetapi ia perlu dilihat dari sudut ekonomi. Sebagai contoh, majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi apabila sesuatu kemalangan menimpa pekerjanya. Taraf hidup dan syarat-syarat pekerjaan, termasuk keselamatan pekerjaan atau pekerja untuk sara hidup ditadbir dalam had yang luas oleh beberapa ikatan undang-undang buruh yang sedia ada di Malaysia.Di antara undang-undang ini, beberapa perundangan yang utama ialah 1) Akta Pekerjaan (1955) 2) Akta Kesatuan Sekerja (1959) 3) Akta Hubungan Industri (1967) 4) Akta Keselamatan Sosial Pekerja (1969) Majikan bertanggungjawab ke atas keselamatan pekerja-pekerjanya. Tanggungjawab utama majikan adalah perlu menyediakan tempat kerja yang selamat. Program keselamatan dan kesihatan pekerja merupakan satu bentuk latihan yang disediakan oleh majikan kepada pekerja-pekerjanya. Selain dari majikan, pekerja juga memainkan peranan yang penting terhadap keselamatan dan kesihatan diri dan pekerja-pekerja lain. Pekerja perlu mematuhi segala peraturan keselamatan yang ada dan menggunakan alat-alat perlindungan dengan cara yang betul. Pekerja juga harus mengamalkan sikap waspada dalam hal keselamatan. Sebarang keadaan atau amalan tidak selamat yang dikesan harus dilaporkan kepada ketua mereka. Begitu juga dengan sebarang kecederaan atau kemalangan yang berlaku.Keselamatan dan kesihatan pekerja semakin menjadi tumpuan dan perhatian kerajaan dewasa ini. Tidak wajar jika Malaysia meningkat maju dari segi ekonomi dan sektor perindustrian, tetapi dicemari dengan kadar kemalangan yang terus meningkat. Sememangnya langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dan aktiviti-aktiviti badan-badan bukan kerajaan seperti MTUC, CUEPECS dan lain-lain adalah wajar bagi mengurangi kadar kemalangan. Apa yang paling penting ialah kesedaran dari majikan dan pekerja.